Followers

Friday, December 14, 2012

Al-Fatihah buat adik Faiz



Assalamualaikum semua. Kali ni saya nak ajak semua pembaca blog saya agar berhenti sekejap buat kerja dan sedekahkanlah Al Fatihah buat adik Faiz yang baru sahaja pulang ke ramatullah. Ketika saya menulis post kali ni, saya baru sahaja pulang dari Taiping melawat keluarga arwah. Buat yang tak mengenali siapakah adik Faiz yang saya sebutkan ni, biarlah saya cerita sedikit ...


Adik Faiz ni sebenarnya salah seorang peminat Upin & Ipin dan menghidap sakit kanser hati sejak dilahirkan. Walaupun keadaannya yang kurang sihat, tetapi ahli keluarga Faiz tidak pernah putus asa untuk menjaga Faiz. Sebagai seorang kanak-kanak, minat terhadap kartun Upin & Ipin memang tidak boleh lari. Setiap hari keluarganya membuka rancangan Upin & Ipin di TV9 kerana hanya itulah yang mampu membuatkannya tersenyum. Walaupun, tidak banyak bersuara untuk meluahkan rasa minatnya terhadap Upin & Ipin tetapi sekurang-kurangnya dia terhibur. Makin kerap dia menonton cerita Upin & Ipin, makin suka dan sayang terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan Upin & Ipin. Dah macam-macam barang Upin & Ipin yang dibeli keluarganya baik yang asli ataupun pirates.



Disebabkan itulah salah satu hajat keluarganya adalah untuk membawa Upin & Ipin datang ke rumah untuk membuat Faiz gembira. Hajat keluarganya itu akhirnya sampai juga kepada saya pada tahun lepas dan dengan apa yang saya mampu akhirnya dapat juga saya kumpulkan beberapa orang staff Les' Copaque bersama dengan maskot Upin & Ipin dan bertandang ke rumah. Keluarganya yang ketika itu menetap di Sungkai Perak menyambut kedatangan kami seperti mengadakan mengadakan rumah terbuka Hari Raya. Tambah lebih istimewa lagi, dapat juga saya men"curi" Asyiela Putri dan Ida Shaheera untuk turut serta dalam lawatan ni. Saya rasa lawatan ketika itu sangat meriah dan setidak-tidaknya dapat menunaikan hajat keluarga Faiz untuk melihat Faiz gembira. Di akhir lawatan tersebut sempat juga saya merakamkan ucapan ibu Faiz yang membuatkan siapa-siapa staff Les' Copaque dengarpun akan tersentap sekejap. Ucapan ikhlas ibu Faiz ni sememangnya saya pegang sampai sekarang dan menjadikan motivasi kepada diri saya untuk membantu kawan-kawan yang senasib seperti Faiz. Ayat ibu Faiz adalah .

".... Akak akan sokong Upin & Ipin sampai akhir hayat akak."

Bermula dari situlah, saya agak rapat dengan keluarga Faiz lebih-lebih lagi dengan ibu Faiz. Saya sering diupdate melalui telefon dan gambar MMS dengan perkembangan Faiz baik ketika sihat ataupun sakit. Pernah sekali tu, saya terima gambar MMS Faiz memakai baju singlet lengkap Upin & Ipin yang baru dibeli di event di Taiping. Ada juga beberapa kali saya dimaklumkan Faiz dimasukkan ke hospital kerana keadaaanya makin serius. Ibu Faiz cakap sebenarnya memang dah takde ubat sangat untuk Faiz dan dia dapat meneruskan kehidupan dia lebih kerana semangat dalam dirinya sendiri. 

Nak dijadikan cerita, raya tahun lepas saya datang beraya ke rumah keluarga Faiz yang ketika itu dah berpindah ke Taiping. Pada awalnya saya tak plan sangat nak beraya, cuma raya tahun lepas memang saya banyak ke belah utara jadi saya ambil peluang untuk menjenguk Faiz dan keluarganya. Alhamdullillah, ketika tu Faiz nampak lebih sihat sebab keluarga Faiz ada mencuba ubat habbatus sauda sebagai makanan tambahan. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan Faiz~..

Malam semalam sekitar jam 7.45 malam saya terima panggilan dari ibu Faiz. Dengan nada sedih dan menangis ibu Faiz bagitahu yang Faiz dah takde lagi. Ayat ringkas ibu Faiz tu memang mengejutkan sangat dan saya pun tak tau nak react macam mana. Awal pagi tadi saya bernekad seorang diri untuk ke Taiping untuk melawat disaat akhir. Tapi sayangnya saya tak sempat nak jumpa dengan Faiz sebab dia dah pun dikebumikan semasa saya sampai.

Mengikut cakap ibu Faiz, Faiz pergi dengan keadaan tenang. Ketika saat-saat akhir tu Faiz menyebut nama ibu, ayah, atok dan semua ahli keluarga termasuklah nama Upin & Ipin. Ibu Faiz juga memasangkan lagu "Sahabat Selamanya" untuk mententeramkan Faiz sebab dia banyak kali menyebut nama Upin & Ipin. Sebelum Faiz menghembuskan nafas yang terakhir, dia sempat memberi salam kepada ibunya dan pergi dengan tenang. Saya yang mendengar cerita ibu Faiz ni memang tak dapat menahan air mata dari mengalir. Tiada yang lebih sedih lagi dari melihat seorang ibu menangis kerana pemergian anaknya~..

Semoga rohnya pergi dengan tenang dan kita hanya dapat sedekahkan al Fatihah. Amin ...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...