Followers

Saturday, January 01, 2011

Karnival Upin & Ipin di SACC (Bah 1)

Karnival Upin & Ipin yang telah berlangsung di SACC Convention Centre dari 24 hingga 28 Disember 2010 yang lalu telah menjadi acara penutup serta kemuncak usaha selama beberapa bulan saya serta rakan kerja yang lain. Kalau ditanya kepada setiap warga kerja yang telah bertungkus lumus dari awal lagi, kami akan bagitahu yang Karnival ini telah dikira berjaya. Kalau nak tahu berjaya atau tidak, teruskan membaca.

Karnival Upin & Ipin SACC Convention Centre

Nama Karnival yang begitu besar ini sebenarnya telah dipikul untuk sekian lama walaupun nama karnival ini sendiri sering bertukar sejak dari awal lagi. Usaha menjayakan karnival ini dari awal lagi juga telah mengundang seribu satu dugaan. Saya yakin, setiap ahli karnival ini pernah terdetik dalam hati masing-masing untuk tidak meneruskan usaha ini kerana risiko dan bebanan yang terlalu besar. Setiap hari ada meeting dan berbincang mengenai karnival. Tidak cukup dengan satu masalah, pasti masalah lain yang akan timbul. Di sinilah baru kita boleh nampak dimanakah semangat setia kawan masing-masing. Ada yang menikam dari belakang dan ada juga yang memberikan pisau. Tapi kepada semua ahli yang tinggal mereka semua masih mempunyai semangat yang kuat dan yakin akan memperolehi kejayaan sekiranya benar-benar ikhlas.
Saya bersama Uneh (Raja Pensel Warna)

Antara pengunjung bergambar beramai-ramai

Adik Aimi yang sering
sentiasa mengikuri saya

Mungkin dengan dugaan yang begitu besar pada peringkat awal, masing-masing tersenyum lebar untuk beberapa hari apabila karnival yang telah selesai ini dikatakan telah mencapai sasaran. Dengan kunjungan lebih 50,000 pengunjung dan jualan melebihi sasaran, Karnival ini telah memecahkan semua rekod event sedia ada sebelum ini. Ada juga yang menganggap, Karnival Upin & Ipin ini satu hari nanti boleh menjadi sebaris ataupun lebih hebat lagi dari Karnival Jom Heboh ataupun Suarasa. InsyaAllah.

Persembahan Pentas

Dari segi persembahan pentas, karnival ini memastikan pentas tidak akan kosong dengan persembahan ataupun acara. Kalau kosong pun mungkin sekejap untuk rehat makan ataupun solat. Pentas Karnival yang menyaksikan penampilan replika Rumah Opah sudah cukup menghidupkan suasana seperti di dalam siri Upin & Ipin. Saya bersama Anty Fiz yang telah dipertanggungjawabkan menjadi pengacara pentas cuba sedaya upaya supaya pentas tidak hambar. Ada baiknya juga gandingan saya bersama Anty Fiz kerana dia sangat pandai mengambil hati pempamer serta kaum dewasa dengan selingan pantun serta lagu-lagu lama. Saya tidaklah pandai sangat nak bercakap, sekadar menghiburkan adik-adik semasa sesi permainan ataupun tarian.


Ezuwan dan Fariz yang
menjaga sesi polaroid

Semasa sesi beramah bersama pengunjung

Mail bergambar bersama pempamer di Karnival

Di Karnival ini, maskot Upin & Ipin dikeluarkan sebanyak 4 kali sehari dan jumlah ini sebenarnya lebih dari biasa. Setiap kali kemunculan, pasti maskot ini akan mengadakan sesi bergambar polaroid dan terus menari chicken dance serta lagu-lagu lain kepada pengunjung dipentas utama. Saya rasa sudah cukup memenatkan maskot-maskot ini setiap hari memberikan persembahan. Lebih-lebih lagi, setiap hari maskot Upin & Ipin ditemani oleh 2 maskot lain seperti Mei Mei, Ehsan ataupun Jarjit. Sebenarnya ramai juga yang memberikan pendapat yang sangat positif. Yela, mana ada event yang boleh menari chicken dance bersama Upin & Ipin. Ramai sekali yang sangat gembira dan rasa tak sia-sia datang ke karnival. Ada juga beberapa keluarga yang datang setiap hari untuk menyaksikan persembahan maskot dan acara lain. Rumah dorang dekat agaknya. Saya sendiri menantikan setiap masa kemunculan maskot Upin & Ipin kerana kehadiran pengunjung ialah untuk berjumpa dengan mereka.

Selain itu, penampilan pelakon suara seperti adik Asyiela Putri dan lain-lain sering kali diselitkan ketika sesi cabutan bertuah. Mereka ini sudah dikenali ramai dikalangan peminat Upin & Ipin. Kalau dibiarkan saja duduk di satu ruang menunggu, pasti ramai yang nak bergambar. Selama 2 hari berturut-turut pula, band Haris and the Pembaris memeriahkan lagi Karnival. Band Haris and the Pembaris yang telah menukar vokalis lama kepada Ida Rahayu tidak kurang hebatnya. Bagaikan menanti persembahan daripada mereka, pengunjung tidak pernah lengang setiap kali adanya persembahan. Menampilkan beberapa buah lagu yang diantaranya sudahpun dimainkan di Melaka Wonderland, persembahan mereka ini mendapat sambutan ramai. Diakhir setiap persembahan, mereka pandai menarik hati pengunjung dengan mendendangkan lagu Sahabat Selamanya dengan gaya mereka tersendiri.






Tidak cukup dengan itu, pentas Rumah Opah ini juga dikunjungi oleh ramai artis-artis lain diantaranya ialah Idola Kecil 3, peserta Pilih Kasih, Ceplos, Kumpulan Padi, Irma Hasmie dan ramai lagi. Setiap petang pula En Karyabudi pasti akan mengadakan "Happy Hour" iaitu jualan barangan terpilih dengan harga yang tak masuk akal. Saya sendiri berada ditempat kejadian dan menyaksikan proses penjualan yang sangat pantas dan cepat dilakukan.

Mengikut data yang diterima, pada hari Sabtu sahaja jumlah pengunjung mencecah 20 ribu orang. Sehingga pada hari ini saya masih hairan macam mana pihak SACC mengira jumlah pengunjung. Tetapi mengikut pandangan mata kasar saya, angka ini tidak mustahil.

Kelab Upin & Ipin

Kaunter pendaftaran Kelab Upin & Ipin ini begitu jelas kelihatan kerana ianya terletak bersebelahan dengan pintu masuk. Dengan yuran seumur hidup RM15 sahaja disamping kad keahlian serta barangan lain, kesibukkan kaunter pendaftaran ini mengalahkan kaunter bank pada hari bekerja. Saya sendiri merasakan pendaftar sebagai ahli kelab sangat menguntungkan. Ianya bukanlah kerana harga yang perlu dibayar, tetapi pendedahan yang bakal diterima selepas pendaftaran. Bayangkanlah, anda akan di SMS sekiranya ada event besar pada masa akan datang. Malahan anda juga dijemput menjadi sebahagian dari ahli acara seperti Animation Parade dan sebagainya. Itu belum lagi saya cakap boleh menjadi penonton untuk rakaman rancangan Kelab Upin & Ipin yang akan disiarkan di TV9. Bayangkan pula sekiranya filem kedua bakal ditayangkan nanti. Pasti ahli merupakan antara orang terawal yang dapat menonton. Banyak lagi kelebihan sebagai ahli dan saya bersama AJK Kelab Upin & Ipin akan merangka perancangan tahun baru ini dengan lebih baik.


Kaunter Jualan

Selama 5 hari kaunter jualan beroperasi, kaunter ini merupakan kaunter yang tidak pernah lengang. Kaunter ini yang menjual antara produk terbaru dengan harga yang sangat rendah. Ada juga beberapa produk terbaru ini yang saya sendiri pun tidak pernah nampak. Ada juga yang ditempah khusus untuk Karnival ini sahaja.



Kalau pengunjung datang ke kaunter jualan ini, rata-rata yang menjaganya ialah partimer yang terdiri dari student MSU ataupun PTPL. Adalah beberapa pekerja tetap yang mengawasi proses jual beli dan stok. Dengan setiap pembelian RM50 ke atas, pengunjung berpeluang pula untuk cabutan bertuah. Antara hadiah grand untuk cabutan bertuah ialah ground arrangement ke Gold Coast dan sebuah motor mini yang bernilai RM1,500. Wah, saya sendiri yang mengumumkan pemenang tempoh hari terasa sedikit iri hati. Takdelah, dah rezeki masing-masing.

Saya di booth Les' Copaque Production

Bersambung...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...