Followers

Tuesday, August 11, 2009

Bercerita bersama Teah di Pesta Buku Selangor

Pesta Buku Selangor yang baru sahaja selesai selain dimeriahkan dengan pelbagai jenis buku di Kompleks PKNS Shah Alam tempoh hari, ianya juga dimeriahkan dengan penganjuran pertandingan bercerita bagi kanak-kanak peringkat daerah. Saya bersama maskot Upin & Ipin diamanahkan untuk membuat kemunculan dan bersama-sama memeriahkan pertandingan tersebut. Secara kebetulan, Teah juga rupanya finalis peserta untuk pertandingan bercerita. Tidak dirancang sama sekali, jadi aktiviti pada hari tersebut selain untuk memeriahkan acara, kunjungan saya secara tak langsung memberi semangat dan melihat sendiri bakat bercerita Teah.

Backdrop Pesta Buku Selangor

Teah yang separuh bertenaga kerana demam itu, tetap mengagahkan diri untuk memberi persembahan yang terbaik pada hari tersebut. Tajuk cerita si Tanggang, cukup menarik disampaikan oleh Teah dengan diselitkan sedikit nyanyian dan beberapa props yang begitu teruja saya melihatnya. Hanya beberapa minit Teah membuka mulut, kebanyakkan penonton sudah mula sedar yang sedang bercerita itu rupanya suara latar bagi Upin & Ipin. Berbaju koyak rabak, bermuka comot, bersos cili di dahi merupakan sebahagian dari gimik yang disampaikan oleh Teah pada hari tersebut. Dialog "Betul, betul, betul" tidak ketinggalan diselit rapi dalam bentuk penceritaannya yang tidak keterlaluan.

Teah sedang membuat persembahan bercerita di atas pentas

Antara juri pertandingan bercerita

Saya sendiri begitu terhibur dengan persembahan Teah dan percaya boleh dia boleh memenangi sekurang-kurang tempat ke-3 pada masa tersebut. Juri-jurinya pula terdiri dari wakil PPAS sendiri dan salah seorangnya ialah Syem Finalis Raja Lawak Astro yang sudah kali keberapa saya bertemu pun tak ingat. Syem yang pernah bersua dengan Teah sebelum ini memuji persembahan Teah yang tidak menyangka bakatnya juga ada di dalam pertandingan bercerita.

Teah bersos cili di dahi selepas selesai membuat persembahan

Antara hadiah pertandingan

Akhirya pemenang pun diumumkan. Teah berjaya mendapat tempat ke 2 secara keseluruhannya. Walaupun gagal mendapat juara, namun hadiah tempat ke 2 sudah cukup bermakna dan memberi semangat untuk meneruskan minatnya itu. Teah yang sangat lemah kerana demam pada hari tersebut sempat bergambar dengan kesemua peserta pertandingan bercerita pada hari tersebut.

Peserta yang memenangi tempat pertama

Teah bersama hadiah dan Upin & Ipin

Bersama semua peserta dan penganjur

Saya bersama Teah

Tahniah kepada Teah kerana berjaya mendapat tempat ke 2. Sebaik sahaja selesai bergambar Teah pun kelihatan terbaring di sisi ibunya kerana keletihan bercampur demam. Namun begitu masih sayup-sayup kedengaran suaranya yang meminta sesuatu dari ibunya walaupun matanya sedang tertutup.

"Ibuu.. nak beli bukuuu~"

Terima kasih kepada pihak penganjur terutama sekali Pengarah PPAS, Puan Mastura kerana menganjurkan acara yang berkonsepkan memupuk semangat membaca seperti ini. InsyaAllah kita akan bekerjasama di masa hadapan dengan perancanganan yang lebih perinci dan menarik.

p/s : Terima kasih kepada Afiq kerana telah menyediakan kamera di saat2 genting.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...